Bahagian
Malaikat.
1
Kejadian malaikat. Faathir 1
Segala puji
tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat
utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk
kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
2
Aqidah yang karut mengenai mengenai malaikat.
Al Zukhruf 19-20
Dan mereka pula
mensifatkan malaikat - yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah
itu - jenis perempuan. Adakah mereka
menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta
itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya). (20) Dan
mereka berkata: "Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah
Kami tidak menyembah malaikat itu". (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai
sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka
hanyalah orang yang berdusta!
3
Antara fungsi para malaikat, menanggung arasy
al Mukmin 7-9
(7) Malaikat yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di
sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman KepadaNya; serta mereka
memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu)*: "Wahai
Tuhan kami! Rahmat-Mu dan llmu-Mu
meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta
menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab Neraka. (8) "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah
mereka ke dalam Syurga "Adn", yang Engkau telah janjikan kepada
mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang yang layak di antara
ibubapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya
Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (9) "Dan peliharalah
mereka dari (balasan) kajahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya)
sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan)
kejahatan-kejahatan (yang dilakukan) maka sesungguhnya Engkau telah
mengurniakan rahmat KepadaNya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar
(nilainya)".
4
Setiap manusia diawasi dan dicatat amalannya
oleh malaikat untuk dibentangkan pada hari Qiamat . Qaf 16-23
(16) Dan demi sesungguhnya
* , Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan
oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepada-Nya daripada urat
lehernya,(17) Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan
menulis segala perkataan dan perbuatanannya; yang satu duduk di sebelah
kanannya, dan satu lagi di sebelah kirinya. (18) Tidak ada sebarang perkataan
yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya
malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan
menulisnya). (19) Dan
(apabila sampai ajal seseorang) datanglah "sakratulmaut" * membawa kebenaran (yang telah dijanjikan,
serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara
yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (20) Dan lagi (apabila sampai saat yang
ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk
yang telah mati) saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah
diberikan.(21) Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar),
disertai (dua malaikat: yang satu menjadi pembawa, dan (yang satu lagi menjadi
saksi); -(22) (Serta dikatakan kepada-Nya): "Demi sesungguhnya! Engkau di
dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami
hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini
menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".(23)
Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: * "Inilah
(Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia
(untuk dibicarakan)".
5
Malaikat yang menulis amalan manusia. Al
An’am 61
Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya;
dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan
menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada
salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan - utusan Kami
(malaikat) sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan
tugasnya).
6
Sifat-sifat malaikat Jibril. Al Najm 6-15
(6) Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan
dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya yang asal,-(7) Sedang ia berada
di arah yang tinggi (di langit); (8) Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada
Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, (9) Sehingga menjadilah
jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah,
atau lebih dekat lagi; (10) Lalu Allah wahikan kepada hamba-Nya (Muhammad,
dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahikan-Nya. (11) Hati (Nabi Muhammad) tidak
mendustakan apa yang dilihatnya. (12) Jika demikian, patutkah kamu hendak
membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? (13) Dan demi
sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk
rupanya yang asal) sekali lagi,-* (14) Di sisi "Sidratul-Muntaha";*
(15) Yang di sisinya terletak syurga "Jannatul-Makwa".
7
Para malaikat tidak dapat memberi syafaat
melainkan diizinkan Allah.
Al Najm 26, 31
(26)(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda
yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat
mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah
mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya.
Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang
yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang yang
berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
8
Cabaran Allah terhadap kaum Musyrikin Quraisy
yang menyembah malaikat. Al Saafat 149-157
(149) (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa
bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)
maka bertanyalah (wahai Muhammad)
kepada mereka itu: Adilkah mereka
membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
(150) Atau adakah mereka
hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan?
(151) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya,
dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: (152) "Allah
beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang yang berdusta! (153)
(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah
anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?).
Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari
anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dialah yang menciptakannya)? (154)
Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu
menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (155) Setelah ditegur, maka
tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagi-Nya
anak-pinak)? (156) Atau adakah kamu menpunyai sebarang bukti yang nyata
(menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)? (157) (Kiranyanya
ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang
yang benar.
9
Pada hari Qiamat, para malaikat akan berlepas
diri dari penyembah-penyembah mereka. Saba’ 40-41
Dan (ingatlah)
semasa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia
bertanya kepada malaikat: "Adakah orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu
dahulu?" (41)
Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu
dengan-Mu). Engkaulah (yang kami
hubungi sebagai pemimpin dan) pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan
dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan
mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin
Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)".
No comments:
Post a Comment